Monday, 28 September 2009

Pagi Raya di RS Kelantan

Bertemu kami sekali lagi bersama sama anak anak di 1 Syawal 1430H @ 20 September 2009. Perjumpaan bermula selepas solat sunat Aidil Fitri. Sebelum solat kami hanya makan sedikit sahaja untuk mengikut sunnah. Pada pagi ni resepi kami adalah nasi minyak dan ayam masak merah. Pencuci mulut pula koktail dan kek coklat. Kami mulakan dengan ucapan dari semua kepada semua yang ada... Sebagai tanda kesyukuran kami mulakan dengan bacaan doa dan terus menjamu selera.... Inilah dia antara makanan yang disajikan, jemputlah makan.....



Kami akhiri sesi pagi Syawal dengan merakamkan gambar kami semua buat kenang kenangan di masa hadapan. Akhir sekali kami warga RS Kelantan mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pada dermawan dan sukarelawan yang selama ini banyak membantu dan meluangkan masa untuk kami. Kepada warden kami Cik Asiah dan Cik Siti, pengurus kami Cik Fatihah dan JK RS Kelantan semua, terima kasih di atas jasa dan bakti yang anda dicurahkan.... hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa baik anda sekalian.
Sekarang tibalah pula giliran kami untuk balik ke kampung halaman kami di Johor. Lewat petang 1 Syawal kami tinggalkan Kota Bharu dan alhamdulillah kami selamat sampai di kampong halaman, Pontian keesokan harinya 2 Syawal sebelum solat subuh. Syukur, Alhamdulillah.....

Dr Zaharah


Malam Raya di RS Kelantan

Tahun ini sekali lagi kami sekeluarga menyambut lebaran Syawal 1430H bersam- sama anak-anak di RS Kelantan.

Selepas diumumkan esoknya 1 Syawal maka kami pun mulalah bertakbir beramai-ramai pada malam Sabtu, 19 September 2009. Tetapi sebelum itu, Ustaz Azizee memberi sedikit tazkirah cara-cara menyambut Syawal mengikut sunnah Nabi s.a.w. Kami juga menerangkan kepada mereka makna takbir itu yang bermaksud kemenangan tidak sepatutnya orang berasa sedih...tapi di Malaysia ni nada takbirnya memang sayu...Jadi anak-anak kat sini ramai jugalah yang tersedu sedan teringatkan kampung halaman, keluarga dan sanak saudara yang jauh di kampung tu....

Selepas habis bertakbir, kami pun mulakan sesi bersalam-salaman dan bermaaf-maafan mengikut trasidi orang Jawa. Setiap orang hendaklah memohon maaf dan menyebut apa kesalahan yang pernah dibuat. Bukan hanya cakap maaf zahir batin sahaja...seperti lazimnya orang biasa buat. Sesi ini juga kami jadikan sebagai latihan untuk pelatih meminta ampun dan maaf daripada keluarga mereka sendiri apabila keluarga melawat mereka pada hari raya nanti. Sesi dimulakan dengan anak-anak yang paling dewasa memohon maaf kepada kami dan warden...kiranya anak yang paling tua lah mula dulu. Anak yang paling akhir iaitu yang paling muda kenalah minta maaf daripada semua kakak mereka yang lebih dewasa. Suasana sayu pun ada dan lucu pun ada apabila setiap daripada anak-anak di sini membuka "rahsia' kesalahan yang pernah mereka lakukan.... Susah juga ya nak mengaku salah kalau tak betul-betul. Alhamdulilah kami amat kagum dengan kejujuran mereka dan kami juga memohon banyak kemaafan di atas kekurangan diri kami juga...

Akhir sekali kami menjamu selera dengan hidangan kuih muih yang disediakan sendiri oleh anak-anak di sini. Banyak juga yang mereka buat dan rasanya juga boleh tahan. Jemputlah makan...


Alhamdulillah tanpa disedari sesi pada malam raya ni sampai pukul 11 malam jugak.... Esok awal-awal lagi anak-anak sudah bangun bertahajud seawal pukul 4 pagi dan seterusnya memasak untuk juadah hari raya pada pagi 1 Syawal 1430H.


Dr Zaharah

Wednesday, 16 September 2009

Majlis Iftar Dan Pelancaran Majlis Amal Islami (MAIM)

Salam Ukhuwah,


Pada 12 Sept 2009 bersamaan 22 Ramadhan 1430 H, satu pelancaran MAIM telah diadakan di New Pacific Hotel. RS Kelantan telah menghantar 2 orang wakil iaitu Pengurus Cik Fatihah dan sukarelawan Cik Rabiatul Hadawiyah ke majlis pelancaran tersebut. Seramai lebih kurang 20 wakil NGO hadir bagi memastikan Majlis amal Islami atau MAIM bergerak sejajar dengan perkembangan masyarakat yang akan bergerak bersama Islam. InsyaAllah. Majlis turut dihadiri oleh YDP JIM Kelantan Dr. Mohamed Hamzah dan Isteri Ustz. Tempawan, Ketua Wanita JIM Kelantan Dr. Hafidzah Mustakim dan Timb. Ketua Wanita JIM Kelantan Dr. Norhani Abd. Rani.


Salam Perjuangan buat semua wakil-wakil NGO yang Hadir. Semoga Allah menyatukan kita dalam NUR keberkatan di bulan Ramadhan ini.

Monday, 14 September 2009

ABJZ RAMADHAN 1430H


Salam semua,

Saya ditanya oleh beberapa orang yang antaranya " Dr, tahun ni tak de ke ABJZ di Dewan Utama USM? .Biasanya mesti dah sibuk dengan program ni pada tahun tahun yang lepas..." Untuk anda yang ingin tahu, ABJZ Ramadhan ini telahpun kami mulakan pada tahun 2007. Kalau ikutkan tahun 2009 merupakan kali ke 3. Apa specialnya ABJZ Ramadhan ni, ia melibatkan semua sekolah menengah di satu satu daerah yang di pilih. Jumlah penyertaan pelajar dan gurunya juga sehingga seribu orang.



Pada 2007 kami mengadakan untuk sek-sek daerah Kota Bharu, 2008 untuk Daerah Bachok dan perangcangan yang telah diatur untuk tahun ini ialah daerah Pasir Mas. Walau bagaimanapun Allah adalah sebaik baik perancang. Pada saat saat akhir, setelah berbincang dengan pihak PPD kami membatalkan program yang sepatutnya berlangsung minggu lepas. Ini adalah kerana atas faktor keselamatan kesihatan pelajar iaitu untuk mengelakkan penularan H1N1 memandangkan ia program yang besar dan melibatkan 15 buah sekolah dan seribu peserta.



Di sini saya sertaka beberapa gambar ABJZ Ramadhan yang telah kami jalankan pada tahun tahun yang lalu. Doakan semoga program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, InsyaAllah.










Sunday, 13 September 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA RSK

Alhamdulillah, pada hari Jumaat lepas, 11 Sept. 09 / 21 Ramadhan 1430H, RSK telah menganjurkan acara tahunan iaitu Majlis Iftar pelatih-pelatih RSK bersama Ahli Jawatankuasa RSK dan keluarga. Turut dijemput juga, JK JIM Negeri dan JK Wanita JIM Negeri. Walau pun tidak semua yang dijemput dapat menghadhirkan diri, lebih kurang 30 tetamu telah memeriahkan majlis ini.

Kebanyakan JK RSK telah datang bersama-sama ahli keluarga masing-masing. Antaranya, Dr Zaharah, Dr Hafidzah, Dr Dasmawati, Dr Norhani, Pn Wan Aishah dan ramai lagi.

Majlis bermula pada pukul 6 petang dengan dipengerusikan oleh pengurus RSK, Cik Fatihah yang kemudiannya menjemput Ustaz Azizee untuk memberi penerangan tentang pertarbiahan di RSK kepada tetamu kehormat pada hari itu, YDP JIM Kelantan, Dr Mohammed Hamzah.
YDP seterusnya menyampaikan sedikit tazkirah kepada para pelatih yang antara lainnya memberi panduan untuk menjalani kehidupan selepas ini mengikut cara yang telah ditunjukkan dalam agama kita. Pengurus kemudiannya menutup majlis dengan menyatakan harapan semua keatas para pelatih yang sedang menjalani bimbingan di RSK sekarang.



Selepas iftaar,
sembahyang maghrib berjemaah dengan di imami oleh Ustaz Azizee juga.












Kegembiraan dapat dilihat pada wajah-wajah pelatih bila dapat bersua dan beramah-mesra dengan tetamu yang datang. Majlis-majlis seperti ini selalunya akan membawa keceriaan pada mereka .....Alhamdulillah.
JZKK kepada semua JK JIM negeri yang telah hadir antaranya TYDP Akh Che Rahimi, SU , B'hari dan AJK dan JK Wanita JIM Negeri antaranya Pn Nik Noor Aini & suami Dr Othman selaku SU JIM Bachok, Ustz Tempawan dll lagi. Dan tak lupa juga, Jazakillaahukhairan pada Puan Fauziah yang telah membiayai sebahagian besar dari majlis ini.

Thursday, 20 August 2009

Temuramah Pengerusi RS Kelantan oleh pelajar dari USIM

Satu pertemuan di antara Pengerusi RS Kelantan bersama 4 orang pelajar tahun akhir jurusan Ijazah sarjana Muda Kaunseling dari USIM telah diadakan pada pukul 2 petang, 18 Ogos yang lalu di pejabat saya. Sesi yang mengambil masa hampir 2 jam itu betujuan untuk menemuramah Puan Pengerusi mengenai RS Kelantan. Sesi ini merupakan antara projek pelajar tersebut. Pada sebelah pagi mereka telah meluangkan masa ke rumah bimbingan kami dan menemuramah pelatih di sana dan sesi itu telah dibantu oleh warden dan pengurus kami. Terima kasih kepada Pengurus kami Cik Fatiha, Waden kami Cik Siti dan Cik Asiah.



Saya dapati pelajar pelajar tersebut berkalibar dan berwibawa dan saya yakin mereka akan berjaya dalam kerjaya mereka nanti, Ameen. Saya mendoakan agar anda teruskan usaha gigih dalam membantu merawat masyarakat yang rosak dan pincang ini. Setiap dari kita mempunyai tanggungjawab yang telah diberikan mengikut kapasiti dan kedudukan kita. Gunakanlah peluang dan kelayakkan kita ini untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah ini dengan sebaik baiknya, InsyaAllah.


Zaharah, Pengerusi RSKelantan

ABJZ di SMK Permaisuri Nur Zahirah, Besut.

Satu lagi program ABJZ telah dijalankan di sekolah tersebut semalam, 19 Ogos 2009. Program sehari penuh di sebelah pagi bersama pelajar dan guru kaunselor dan di sebelah petang bersama ibubapa mereka. Program ini merupakan usaha sama antara pihak sekolah dengan Guru Peripatetik Keperluan Khas manakala kesemua slot ceramah telah diisi oleh Prof Din Suhaimi dan Dr Zaharah sendiri dari RS Kelantan.




Seramai 200 orang pelajar Tingkatan 2 lelaki dan perempuan telah menyertainya dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sesi pertama dimulakan dengan ceramah oleh Dr Zaharah bertajuk Antara Cinta dan Cita Cita. Kemudian sesi selari menyusul dengan pelajar lelaki dan perempuan diasingkan dan sesi ini dikendalikan oleh Prof Din dan Dr Zaharah.















Prof Din seterusnya memoderatorkan sesi forum dengan Dr Zaharah dan kaunselor sekolah sebagai panelnya. Pada masa itu banyak senario yang Prof Din lontarkan kepada pelajar untuk menguji apakah tindakan yang akan mereka lakukan. Contohnya, soalan kepada seorang pelajar perempuan - Jika anda diajak oleh seorang pelajar lelaki untuk ke pantai untuk belajar bersama. Pelajar lelaki ini baik dan ibubapanya ustaz dan ustazah. Adakah anda menerima perlawaan tersebut? Hmm... apa rasanya jawapan pelajar puteri itu ya? Selepas itu komen diberikan oleh panel forum.



Program separuh hari disebelah pagi diakhiri dengan bacaan ikrar oleh pelajar untuk menjauhi diri mereka dari perkara yang boleh membawa kepada zina ini telah diketui oleh seorang wakil dari kalangan mereka. Sesi pagi berakhir hampir ke pukul 2 petang dan kemudian sesi bersama ibubapa diteruskan pada pukul 3 petang bersama sama Prof Din Suhaimi. Tajuk diskusi adalah Selamatkah Anak Kita?


Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Guru peripetatik yang telah bersungguh sungguh menjayakan program tersebut. Semoga usaha kalian semua akan mendapat ganjaran dari Allah, insyaAllah.