Friday 24 April 2009

PROGRAM HUJUNG MINGGU

  1. PROGRAM SUSULAN ABJZ MRSM BESUT
Pagi ini Dr Zaharah telah dijemput sekali lagi untuk memberikan slot kepada 60 orang pelajar MRSM Besut dalam Program Pembangunan Pelajar yang di adakan di Taman Azimos, Pantai Air Tawar, Besut , Terengganu. Dr Zaharah telah memberi sesi membina jati diri selama 2 jam bermula dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.


Antara perkara yang disentuh adalah mengenai insan cemerlang . Insan yang cemerlang mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Allah, tetapi juga sesama manusia. Dr Zaharah kemudiannya menghuraikan lagi mengenai cara untuk mempunyai hubungan yang baik dengan Allah adalah dengan mengenal sifat-sifat Allah dan apa yang patut seseorang itu lakukan dan hindarkan sebagai hamba kepada Allah.

Antara lain, Dr Zaharah juga mengaitkan sifat-sifat kekuasaan Allah seperti Allah Maha Mengetahui dengan beberapa contoh pembuktian sains tentang dalil di dalam al-Qur'an. Contohnya, kejadian unta, kecerdikan anai-anai dan lebah dalam membina rumah mereka dan keajaiban yang pada badan manusia itu sendiri.


Semoga para pelajar dapat melihat dengan mata hati mereka mengenai kehebatan Allah....




2. SEMINAR LAMBAIAN MENARA GADING

Pada pagi yang sama ini juga, di Dar Nur az-Zahra' telah diadakan seminar di atas. Program ini telah dihadiri oleh hampir 40 orang pelajar lepasan SPM yang sedang menunggu untuk panggilan ke menara gading. Program ini dianjurkan oleh JK IPT Wanita JIM Kelantan yang telah di ketuai oleh Dr Habsah Hassan.

Dua ceramah dan satu forum yang kesemuanya berkisar kepada persedian dan cabaran di menara gading telah diadakan. Dr Dasmawati adalah moderator kepada forum yang bertajuk Sembang-sembang IPT itu. Panel forum pula terdiri daripada 4 orang pelajar yang sedang menuntut di beberapa IPT seluruh Malaysia.

Dr Hafidzah Mustakim, yang merupakan JK RSK dan juga Ketua Wanita JIM Kelantan telah diberi penghargaan untuk menyampaikan ucapan penutup dan seterusnya menyampaikan momento kepada wakil pelajar lelaki dan perempuan.

Terimakasih kepada Dr Hafidzah diatas ucapan dan kata-kata nasihat sebagai bekalan kepada yang akan ke menara gading.

Tahniah dari kami untuk para pelajar sekalian!

Thursday 23 April 2009

TERIMA KASIH.......

Alhamdulillah, pada pagi tadi, dalam satu majlis yang di adakan di Majlis Agama Islam Kelantan ( MAIK ), Dr Zaharah, selaku Pengerusi RSK telah di jemput untuk menerima sumbangan bagi pihak RSK.

Sumbangan yang sangat kami hargai ini datangnya dari zakat yang dibayar oleh Bank Simpanan Nasional ( BSN ) kepada MAIK yang seterusnya menyalurkan sebahagian kecil dari jumlah itu kepada RSK.

Terima kasih daun keladi BSN dan MAIK!!!

Kesempatan bertemu dengan beberapa orang wakil dari pihak bank juga telah memberi peluang kepada pengerusi kami untuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai RSK. Alhamdulillah juga, mereka telah begitu tertarik dengan usaha ini dan membayangkan untuk memberi sumbangan lagi di masa hadapan, Insya Allah....

Wednesday 22 April 2009

PERKONGSIAN PENGALAMAN : RESILLIANT FAMILY DISCOURSE


Alhamdulillah, pada 20 - 21 April 2009, ana berpeluang untuk mengikuti program di atas sebagai pembentang plenari. Ana dijemput atas kapasiti Pengerusi RS Kelantan untuk membentangkan kertas bertajuk: " Achievement And Challenges In Managing a Female Adolescence Guidance Centre; Experience shared from Raudhatus Sakinah Kelantan."

Program tersebut telah dianjurkan bersama oleh LPPKN dan DOHA International Institute for Family Studies and Development, (IIFSD) Qatar. Program ini telah dihadiri oleh 50 orang peserta dengan 12 kertas kerja dibentangkan oleh poembentang dari 8 buah negara termasuk Filipina, India, Nepal, New Zealand, Australia , Korea dan Malaysia.

Ana merupakan pembentang terakhir pada hari kedua. Walaubagaimana pun, dari maklumbalas yang diberikan oleh pembentang lain dan juga peserta, mereka amat menghargai kerja dan usaha yang dilakukan oleh Wanita JIM dalam menyantuni remaja yang memerlukan bimbingan. Mereka bersetuju dengan pendekatan yang Wanita JIM gunakan iaitu memberikan bimbingan dan bukannya hukuman. Mereka dapat melihat pendekatan holistik yang kita gunakan dalam proses rehabilitasi pelatih memang bersesuaian. Mereka juga bersetuju dengan penekanan yang kita berikan dari aspek pendekatan keagamaan dan ramai dari kalangan peserta juga bersetuju pegangan agama banyak memainkan peranan dalam mencegah masalah sosial yang semakin hari semakin membimbangkan.

Selepas tamat sesi, ana didatangi oleh peserta-peserta yang menunjukkan minat untuk menyumbang, bekerjasama, merujuk dan mengadakan lawatan ke RSK. Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah dan syabas kepada Wanita JIM diatas usaha yang murni ini. Mereka yakin Wanita JIM boleh pergi lebih jauh lagi dalam usaha kita menangani masalah sosial remaja di Malaysia. Banyak juga networking dari badan-badan dalam negara yang mana kita berpotensi untuk bekerjasama.

Sebelum program tamat, Dr Richard Wilkins yang merupakan Pengarah Urusan Doha IFFSD mengucapkan tahniah diatas usaha murni tersebut dan 'mendoakan' semoga usaha ini terus berkembang. ( Kak Har, Joy sampaikan salam Kak Har pada dia dan memang dia ingat lagi pada Kak Har!)

Antara kata-kata Dr Richard Wilkins dalam ucapan alu-aluan beliau adalah, " A resilliant family provides a stable foundation of a society that will protect the individual right". Dan, " God ask us to share if we have the ability to share".

Kesimpulannya, berdasarkan pembentangan dari semua negara, apa yang telah diusahakan oleh kita ini sebenarnya setanding dengan apa yang dibuat oleh orang lain di negara luar, bahkan tidak keterlaluan sekiranya mengikut pengamatan saya, bahawa apa yang kita usahakan ini adalah lebih baik kerana bersifat holistik. Walillahilhamd.

Tidak ketinggalan juga, jutaan terima kasih kepada Kak Har ( Dr Harlina) dan Kak Pid (Dr Hafidzah) atas tunjuk ajar mereka dan idea yang diberikan untuk pembentangan kertas tersebut.

Sekian, Wassalam.

Joy ( Dr Zaharah Sulaiman)

Saturday 18 April 2009

PROGRAM DI MASJID NEGERI

Alhamdulillah, pada petang tadi, Dr Zaharah telah memenuhi slot Ceramah Bulanan Wanita di Masjid Negeri Kubang Kerian. Sesi berlansung selama satu jam bermula dari pukul 3.15 hingga 4.15 petang. Seramai 30 orang kaum ibu dan anak-anak remaja perempuan mereka telah menghadiri sesi ini.

Tajuk ceramah yang disampaikan ialah, "Menangani Masalah Sosial Remaja Perempuan". Dr Zaharah membawakan senario gejala sosial dalam masyarakat kita sekarang yang boleh diumpamakan seperti wabak yang sedang melanda dan berleluasa. Beliau cuba membawa kesedaran kepada kaum ibu yang seharusnya menjadi sahabat paling rapat kepada anak-anak remaja perempuan masing-masing. Beliau mengenengahkan faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah sosial ini dan membincangkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ibubapa , khususnya kaum ibu sendiri. Setiap ibubapa sepatutnya berusaha untuk membendung dan melindungi anak-anak remaja kita dari terus hanyut dalam dunia yang penuh mencabar ini.

Pada kesempatan ini juga, Dr Zaharah telah memperkenalkan RSK dan menerangkan peranan yang telah dan sedang dijalankan oleh RSK dalam menangani masalah gejala sosial ini. Sehubungan dengan itu, beliau juga telah menyeru masyarakat untuk turut sama berganding bahu menyumbang dalam usaha ini.

Orang ramai boleh menyumbang dalam bentuk-bentuk berikut;
  • Kewangan - sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun RSK atas nama PJIM-WANITA JIM KELANTAN(RS). Akaun Bank Islam bernombor: 03018010090106
  • Peralatan - perkakasan rumah dsb.
  • Keperluan Harian - bahan makanan dsb.
  • Tenaga Pembimbing Sukarela ( sukarelawan)

Pihak Majlis Agama Islam Kelantan ( MAIK ) pula telah menolong pihak RSK dengan memberi peluang kepada sesiapa yang telah membuat potongan zakat kepada MAIK untuk menyalurkan 25% dari potongan itu kepada dana RSK.

Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi kami di alamat email di atas atau tinggalkan pesanan di kotak komen.

INFORMASI RSK


MATLAMAT RAUDHATUS SAKINAH
  • Membantu remaja menghayati islam sebagai cara hidup
  • Membantu remaja membina semua keyakinan diri untuk meneruskan hidup yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat.


KHIDMAT DAN BIMBINGAN

  • BIMBINGAN ROHANI - Fardhu'ain, Al- Qur'an, hadith, Bimbingan Mukmin, Akhlaq, Akidah, Do'a dan Sirah Nabi.
  • BIMBINGAN BINA DIRI - Kaunseling Individu dan Kelompok, Motivasi dan Jatidiri.
  • BIMBINGAN AKADEMIK - Kelas Bahasa Inggeris.
  • RIADAH, REKREASI DAN KESENIAN - Senaman(aerobik), Rehlah, Outdoor Games dan Nasyid/Pantomime/Sajak/lakonan dsbnya.
  • KEMAHIRAN DIRI - Komputer, Masakan, Jahitan dan Kraftangan, Berkebun

AKTIVITI SAMPINGAN

  • Memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada remaja yang memerlukan.
  • Mengadakan program pencegahan iaitu program " Anda Bijak Jauhi Zina" untuk pelajar sekolah menengah dan IPT.

SYARAT KEMASUKAN

  • Remaja puteri berumur 12 - 25 tahun.
  • Gadis islam dan warganegara Malaysia.
  • Mangsa gejala sosial seperti : penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan, sumbang mahram dan sebagainya.
  • Bebas dari kes undang-undang dan penyakit kronik.
  • Bersedia merubah diri dan bersedia menjalani bimbingan sekurang-kurangnya setahun.

Friday 17 April 2009

TAHNIAH ! RSK DAN DAKWAH DIGITAL

Salam
Tahniah diucapkan kepada Raudhatus Sakinah Kelantan ( RSK ) khusus kepada Dr Zaharah selaku pengerusi dan Pn Ilham selaku pengurus RSK yang telah memulakan lembaran baru bagi RSK untuk melangkah ke era baru dakwah digital.

Pengalaman kita mengendalikan rumah perlindungan dan bimbingan seperti RSK memberikan keinsafan kepada kita bahawa usaha preskriptif atau pengubatan seperti bimbingan dan pemulihan remaja mesti lah seiring malah di gandakan dengan usaha preventatif atau pencegahan berbentuk program pendidikan.
Sehubungan dengan itu, RSK keluar kepada masyarakat dan menawarkan program berbentuk pencegahan.

Antara program yang disediakan adalah :
  1. Program mencetuskan kesedaran seperti Kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ)yang merupakan program separuh hari bertujuan memberikan kesedaran kepada remaja tentang kesihatan reproduksi mereka dan kepentingan mengurus perubahan transisi remaja dan menjauhi gejala yang tidak sihat termasuk menjauhi zina. Kami mengalu-alukan kerjasama dari semua sekolah, persatuan penduduk, masjid, badan- badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk berkerjasama dengan kami menganjurkan kempen ini. Sejak ia dilancarkan pada tahun 2006, banyak sekolah, kolej dan IPT serta persatuan yang telah bersama kami menganjurkan program ini.
  2. Modul Kesihatan Reproduksi Remaja ( MKRR ) - Modul ini dibangunkan oleh Raudhatus Sakinah Pusat untuk memberikan latihan yang lebih mendalam kepada remaja agar mereka dapat mengharungi cabaran kehidupan remaja dengan penuh kemahiran. Melalui modul-modul latihan yang boleh dipilih, program boleh disesuaikan kepada kumpulan sasaran yang berkenaan.
  3. Program Kemahiran Keibubapaan Efektif - Kita mendapati antara faktor yang penting dalam pembinaan remaja adalah dengan memberikan kesedaran dan kemahiran keibubapaan kepada ibubapa remaja. Beberapa modul telah kami bangunkan untuk memenuhi semua peringkat umur anak-anak kita.

RSK berazam untuk menyumbang dalam pembinaan generasi remaja yang mempunyai jatidiri ummah cemerlangmelalui pembinaan iman dan taqwa kepada Allah, Tuhan pencipta manusia itu sendiri. Hanya apabila terbentuknya masyarakat yang ibubapanya beriman dan anak-anak mereka terdidik dengan jatidiri muslim yang sejati, barulah masyarakat dapat hidup aman sejahtera tanpa gejala sosial yang bobrok dan membelenggu mereka.

Wassalam.

Dr Hafidzah Mustakim

JK Pendidikan RSK

Thursday 16 April 2009

DOKTOR DI RADIO

Hari ini, pengerusi RSK, Dr Zaharah Sulaiman dijemput ke Kelantan FM bagi mengisi slot Doktor Di Radio. Rancangan ini ke udara dari pukul 1o hingga 11 pagi. Beliau dijemput di atas kapasitinya sebagai Pakar Perkembangan Kesihatan Wanita, yang mana beliau mengetuai unit itu ( UPKW ) di Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM ) Kubang Kerian.

Dr Zaharah bercakap mengenai Masalah Sosial Di Kalangan Remaja dan Implikasi Dari Sudut Kesihatan.

Beliau menegaskan, implikasi kesihatan ini diberi tumpuan khusus kepada remaja perempuan yang lebih terdedah kepada jangkitan penyakit-penyakit kelamin dan HIV kerana faktor biologi.

Apa yang membimbangkan, statistik menunjukkan peningkatan yang sangat ketara di kalangan remaja perempuan atau wanita muda ( di bawah umur 30 tahun ) yang dijangkiti virus HIV. Kajian yang dilakukan pada tahun 1999 menunjukkan seorang wanita bagi setiap 80 penghidap HIV. Angka ini telah meningkat kepada seorang wanita bagi setiap 15 orang pada tahun 2008!!! Secara tidak lansung, ini menunjukkan betapa ramainya remaja kita yang terlibat dalam seks bebas dari sehari ke sehari.

Yang lebih menyedihkan juga, remaja-remaja ini, bila ditanya ( samada semasa sesi temuduga kemasukan ke RSK atau semasa program " Anda Bijak Jauhi Zina ( ABJZ ) " di sekolah-sekolah ), mengatakan mereka sedar tentang risiko-risiko kesihatan ini, tapi keseronokan mengatasi segala-galanya......

Dr Zaharah menekankan mesej kepada ibubapa secara khususnya untuk lebih memberi tumpuan kepada anak-anak remaja. Kurangnya tumpuan dan kasih sayang dari keluarga lah punca utama remaja-remaja mencari alternatif di luar.

DJ Kelantan FM juga telah menanyakan beberapa soalan mengenai RSK dan DR Zaharah telah memberi penerangan mengenai syarat kemasukan ke pusat ini serta khidmat dan bimbingan yang disediakan.

Sesi diakhiri dengan Dr Zaharah memberikan tip keibubapaan yang di ambil dari nasihat Saidina Ali R.A iaitu, " Didik lah anak-anak kita mengikut peringkat umur mereka. Bermain dengan mereka pada 7 tahun yang pertama, Mendisiplinkan mereka pada 7 tahun kedua dan Berkawanlah dengan mereka pada 7 tahun yang seterusnya".

Semoga jadi panduan untuk kita semua, Insya Allah.

Wednesday 15 April 2009

CARTA ORGANISASI RSK 2009




PENGERUSI RAUDHATUS SAKINAH KELANTAN

DR ZAHARAH SULAIMAN





JAWATANKUASA PENGURUSAN

PUAN WAN AISHAH WAN IBRAHIM


DR HAFIDZAH MUSTAKIM


USTAZ AZIZEE ROHIM JAPRI


DR NORHANI ABD RANI


DR DIN SUHAIMI SIDEK


DR DASMAWATI MOHAMAD


DR MARYAM SUMAIYA AHMAD






PENGURUS


WARDEN


PENOLONG WARDEN

PENGENALAN

Remaja hari ini terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang menyebabkan mereka mudah terjerumus ke dalam aktiviti kurang sihat samada secara lansung atau sebaliknya. Kebanyakan mereka menjadi mangsa penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan, sumbang mahram dan sebagainya.

Sehubungan itu, Raudhatus Sakinah ( RS ) diwujudkan sebagai sebuah institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang menjadi mangsa gejala sosial ini. RS berusaha membantu remaja-remaja yang terlibat meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri agar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat dan agama.

RS telah beroperasi sejak Ogos 1998 dibawah pengendalian Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ( WJIM ). RS merupakan prokek berterusan untuk membantu masyarakat menangani gejala sosial khususnya di kalangan remaja puteri. RS telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pusat Penjagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ).

RS Kelantan ( RSK ) adalah cawangan yang ditubuhkan untuk menampung keperluan menangani kes mangsa gejala sosial yang semakin meningkat.