Hari ini, pengerusi RSK, Dr Zaharah Sulaiman dijemput ke Kelantan FM bagi mengisi slot Doktor Di Radio. Rancangan ini ke udara dari pukul 1o hingga 11 pagi. Beliau dijemput di atas kapasitinya sebagai Pakar Perkembangan Kesihatan Wanita, yang mana beliau mengetuai unit itu ( UPKW ) di Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM ) Kubang Kerian.
Dr Zaharah bercakap mengenai Masalah Sosial Di Kalangan Remaja dan Implikasi Dari Sudut Kesihatan.
Beliau menegaskan, implikasi kesihatan ini diberi tumpuan khusus kepada remaja perempuan yang lebih terdedah kepada jangkitan penyakit-penyakit kelamin dan HIV kerana faktor biologi.
Apa yang membimbangkan, statistik menunjukkan peningkatan yang sangat ketara di kalangan remaja perempuan atau wanita muda ( di bawah umur 30 tahun ) yang dijangkiti virus HIV. Kajian yang dilakukan pada tahun 1999 menunjukkan seorang wanita bagi setiap 80 penghidap HIV. Angka ini telah meningkat kepada seorang wanita bagi setiap 15 orang pada tahun 2008!!! Secara tidak lansung, ini menunjukkan betapa ramainya remaja kita yang terlibat dalam seks bebas dari sehari ke sehari.
Yang lebih menyedihkan juga, remaja-remaja ini, bila ditanya ( samada semasa sesi temuduga kemasukan ke RSK atau semasa program " Anda Bijak Jauhi Zina ( ABJZ ) " di sekolah-sekolah ), mengatakan mereka sedar tentang risiko-risiko kesihatan ini, tapi keseronokan mengatasi segala-galanya......
Dr Zaharah menekankan mesej kepada ibubapa secara khususnya untuk lebih memberi tumpuan kepada anak-anak remaja. Kurangnya tumpuan dan kasih sayang dari keluarga lah punca utama remaja-remaja mencari alternatif di luar.
DJ Kelantan FM juga telah menanyakan beberapa soalan mengenai RSK dan DR Zaharah telah memberi penerangan mengenai syarat kemasukan ke pusat ini serta khidmat dan bimbingan yang disediakan.
Sesi diakhiri dengan Dr Zaharah memberikan tip keibubapaan yang di ambil dari nasihat Saidina Ali R.A iaitu, " Didik lah anak-anak kita mengikut peringkat umur mereka. Bermain dengan mereka pada 7 tahun yang pertama, Mendisiplinkan mereka pada 7 tahun kedua dan Berkawanlah dengan mereka pada 7 tahun yang seterusnya".
Semoga jadi panduan untuk kita semua, Insya Allah.
Thursday, 16 April 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment