Monday 18 May 2009

ANTARA REALITI DAN PENGHARAPAN.....

Setiap kali perjumpaan keluarga akan diadakan, pelatih-pelatih yang keluarga mereka termasuk dalam senarai yang akan dipanggil menunjukkan bermacam-macam ragam. Kebanyakannya gembira kerana sudah semestinya akan berpeluang berjumpa dengan keluarga masing-masing, terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh di luar Kelantan.

Namun, ada juga pelatih-pelatih yang kegelisahan....golongan ini biasanya yang memang telah menimbulkan masalah samada dari segi disiplin atau apa saja, yang mana mereka sendiri tahu, segalanya akan di bincangkan dengan keluarga mereka.

Seminggu sebelum tarikh perjumpaan, pengurus jadi orang yang sangat 'diminati' oleh pelatih-pelatih. Bermacam-macam cara digunakan bagi memastikan pengurus akan memberikan penilaian yang baik terhadap mereka kepada pengerusi yang akan bertemu dan berbincang dengan keluarga mereka.

Dari pihak ibubapa pula, biasanya kebanyakannya akan memberikan kerjasama dengan menghadiri perjumpaan dan menepati masa.

Tapi....dalam sesi perjumpaan, bermacam-macam karenah pula timbul. Karenah-karenah yang pelbagai ini kadang-kala menimbulkan kekecewaan pada kami.

Tujuan disebalik pertemuan ini adalah untuk menemukan titik persefahaman antara usaha yang dilakukan di pusat bimbingan ini dengan persediaan keluarga untuk menerima anak mereka kembali kedalam keluarga. Matlamatnya, supaya apa yang diterapkan selama setahun di RSK akan ada kesinambungannya dalam kehidupan mereka seterusnya . Pengerusi dan ahli jawatankuasa yang terbabit dalam pertemuan ini akan sedaya upaya cuba mengutarakan permasalahan pelatih-pelatih, cuba menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dan konflik-konflik dalam keluarga yang menekan pelatih.

Alhamdulillah, ada keluarga yang memang memahami dan bekerjasama dengan sebaiknya.

Malangnya, sebahagian besar dari ibubapa masih sangat kabur dengan tujuan hidup ini sebenarnya. Kejayaan akademik masih menjadi perkara paling besar dalam hidup mereka. Menjadi matlamat yang mereka letakkan di tangga paling atas.....maka, terhasil lah senario-senario begini:( selepas anak2 mereka melahirkan anak)

Ibubapa: "Dr, kami nak minta anak kami keluar awal sikit sebab bla,bla,bla....Ini semua untuk MASA DEPAN mereka."

Pengerusi:(diam dan biar mereka mereka cakap sampai penat...) "Apa saja alasannya, jawapannya tetap sama, kita dah buat perjanjian , tempoh masa bimbingan ialah SETAHUN."

Inilah senario yang sangat mengecewakan kami.....
Mudahnya mereka lupa. Baru beberapa bulan lepas, mereka yang merayu-rayu kami menerima anak-anak mereka masuk ke RSK.

Dalam sesi interview kemasukan, semua syarat diterangkan dengan jelas . Semua ibubapa mengaku faham dan bersedia mematuhinya, sehingga sanggup menandatangani surat perjanjian yang kemudiannya mereka sendiri bawa ke LHDN untuk di stamping to legalise it.

Sedarlah wahai semua ibubapa.....setahun di RSK sebenarnya tidak pun memadai untuk membentuk semula akhlak yang telah terjejas sebegitu teruk. Ini kan pula hanya beberapa bulan. Tidak kah merasa bersyukur anak yang dulunya sangat liat sembahyang sekarang sudah kenal solat taubat, tahajjud, dhuha dsb nya. Yang dulunya tak kenal alif, ba, ta sekarang sudah khatam al-Qur'an. Rendah sangat kah nilai ini semua dibandingkan dengan kejayaan akademik yang belum pun pasti akan membuahkan kejayaan. Bukankah anak-anak anda semua terjebak kedalam kancah maksiat ini semasa mereka sedang bergerak dalam dunia persekolahan mereka? Berani kah menjamin yang mereka tidak akan terlibat semula dengan gejala-gejala sosial yang semakin hari semakin berleluasa ini?

Bukan kami ingin menafikan kepentingan akademik....

Apa yang ingin disampaikan disini ialah, please,please wake up....

Sedarlah....Kejayaan semua manusia Allah telah letak dalam agama. Sejauh mana kita dapat mentaati perintahNYA dan meninggalkan laranganNYA, mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW....itu lah kejayaan yang sebenarnya, di dunia dan di akhirat.


Biarkan lah anak-anak ini berada dalam suasana iman dan amal selama setahun di RSK. Selepas beberapa bulan di sini, biasanya anak-anak ini akan mula merasakan keindahan hidup dalam suasana agama dan sudah mula memikirkan bukan saja tentang diri mereka tapi juga telah mula fikir dan risau tentang pengamalan agama keluarga mereka. Malangnya, ada pula ibubapa yang cuba untuk mengeluarkan anak-anak mereka pada saat itu. Kami memang tidak dapat menjamin mereka akan berubah sepenuhnya, tapi kami berusaha sedaya-upaya yang termampu.

Renung dan hayati lah maksud hadith ini;

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedeqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang saleh yang mendoakannya".

Mari lah kita sama-sama berdoa dan memberi sokongan dan dorongan yang sebaiknya kepada anak-anak kita mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh dan solehah. Amiin.

Sunday 17 May 2009

PERJUMPAAN KELUARGA RSK



Pada petang Sabtu, 16 Mei 2009, bermula dari pukul 2:30 petang hingga 5: 30 petang telah diadakan satu perjumpaan besama ibubapa, keluarga dan penjaga kepada pelatih di Raudhatus Sakinah Kelantan. Dr Zaharah dan Ustaz Azizee telah mengendalikan sesi bersama 8 keluarga pelatih yang hadir, seramai hampir 20 orang yang datang dari jauh dan dekat. Perjumpaan tersebut diadakan secara individu (temubual secara berasingan untuk setiap keluarga) dan juga secara berkumpulan (ceramah).

Tujuan utama kami mengadakan perjumpaan secara berkala ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas dua hala dari pihak keluarga dan maklum balas kami kepada keluarga pelatih. Kami merasakan penglibatan keluarga adalah amat penting dalam memastikan proses pemulihan dan bimbingan pelatih berjalan seperti yang diharapkan. Jika pelatih tersebut sudah hampir tamat tempoh pemulihan, kami juga membincangkan mengenai halatuju mereka selepas mereka keluar nanti.


Ustaz Azizee sedang menyampaikan ceramah mengenai hak hak anak dalam Islam

Antara lain semasa sesi ceramah selama 1 jam (yang telah diberikan oleh Dr Zaharah dan Ustaz Azizee), perkara yang ditekankan adalah pendidikan anak anak menurut perkspektif Islam. Ibubapa dan juga keluarga diberi peringatan mengenai tanggungjawab mereka terhadap anak anak dan hak anak anak dalam Islam.

Prof. Abdel Rahim Omran; (Family Planning in the Legacy of Islam ) - ada menyatakan mengenai 10 hak anak anak dalam Islam adalah:

1. Hak untuk hidup.
2. Hak untuk mendapatkan ketulenan baka.
3. Hak diberi nama yang baik.
4. Hak disediakan keperluan asas termasuk penyusuan ibu.
5. Hak diasingkan tempat tidur. ( bagi anak-anak mencapai usia mumaiyiz )
6. Hak mendapatkan pendidikan agama yang sempurna
7. Hak diberikan pelajaran dan asas kemahiran hidup.
8. Hak dijamin keselamatan sepanjang masa
9. Hak diberi layanan saksama anak lelaki & perempuan ).
10. Hak mendapat biaya dari sumber yang halal.


Dr Zaharah sedang menyampaikan ceramah mengenai fasa fasa kehidupan remaja

Walaupun keletihan dihujung perjumpaan, alhamdulillah kami berpuas hati dengan sesi yang telah dijalankan. Setiap kali kami berinteraksi dengan keluarga pelatih, ia memberi satu keinsafan pada diri kami agar menjadikan apa yang kami lihat sebagai iktibar. Semoga Allah merahmati kami dan semua yang hadir pada perjumpaan kali ini.

Saturday 2 May 2009

TRAINING OF TRAINERS (ABJZ) DI DUNGUN


Alhamdulillah, pada 1 Mei 2009 telah diadakan program sehari ''Training of Trainers" (TOT) ABJZ (Anda Bijak Jauhi Zina) untuk Zon Timur (Kelantan dan Terengganu) di Politeknik Sultan Mizan, Dungun. Program tersebut telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta, majoriti dari kalangan remaja. Program ini dianjurkan oleh Wanita JIM Terengganu dan dijayakan oleh Lembaga Pengurusan Pusat Raudhatus Sakinah (LPIRS), antaranya Ummi Rose, Kak Yus, Kak Roha, Cikgu Siti Aini dan saya sendiri.


Team dari Kelantan telah diwakili oleh seramai 24 orang. Mereka terdiri daripada team Cikgu Zul dan anak buahnya dari Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut. Team Ustaz Azizee dan pelajarnya dari Kolej Jaiputra, Kota Bharu dan Cikgu Awie serta Dr Habsah wakil dari Wanita JIM Kelantan.



Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi latihan kepada sesiapa sahaja yang berminat dan prihatin untuk menjayakannya di lokaliti masing masing, justeru lebih ramai lagi remaja dapat disantuni. Setiap peserta diberi bahan yang lengkap daripada penyediaan kertas kerja, surat menyurat, tip tip penganjuran, contoh aturcara program sama ada separuh atau sehari dan yang paling penting pengisian untuk setiap sesi.

Ummi Rose membentangkan; Berapa Harga Dirimu, Cikgu Siti Aini; Tip tip penganjuran, Kak Yus; Pengendalian forum, dan saya sendir; Kesan Kesihatan Reproduksi. Tidak ketinggalan Kak Roha yang merupakan Event manager. TOT ini diakhiri dengan bengkel dan persembahan kumpulan. Alhamdulillah, persembahan peserta hebat belaka dan insyaAllah kami yakin mereka dapat melaksanakannya nanti.

Tahniah kepada Wanita JIM Terengganu yang telah berjaya menganjurkan program ini. Terima kasih kepada Kak fariza kerana menumpangkan kami di tadikanya, transit sementara program bermula, sebab kami sampai awal pagi. Alhamdulillah, dapat juga melelapkan mata seketika, hilang sikit rasa penat! Terima kasih kepada LPIRS atas usaha murni anda sekelian. Tahniah juga kepada team dari Kelantan yang banyak menyumbang idea dan menjadi pembentang dalam sesi bengkel. InsyaAllah semoga usaha ABJZ akan lebih bersemarak di Kelantan selepas ini.