Thursday 10 December 2009



Alhamdulillah, adik-adik di RS Kelantan menerima kunjungan dari pelbagai pihak sekitar hujung tahun 2009 ini. kali ini kami di RS Kelantan menerima kunjungan dari kaunselor KIST (Kolej Islam Sains Dan Teknologi), Cik Hafizah. Kunjungannya bertujuan mengenali dengan lebih dekat masalah yang menimpa adik-adik di RS Kelantan. Semoga kunjungan dan perkenalan ini memberi kebaikan buat adik-adik di RS Kelantan.

Di samping itu kami di RS Kelantan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Pengantin Baru buat Cik. Hafizah yang akan mendirikan rumahtangga pada hujung bulan 12/2009". Jzkk atas kunjungan mesra dari kami di RS Kelantan.

Wednesday 9 December 2009

KUNJUNGAN WARTAWAN UTUSAN MALAYSIA


Salam Perjuangan,

9/12/09 Kami di RS Kelantan menerima kunjungan dari wartawan Utusan Malaysia (Pantai Timur)Pn. Fauziah. JK RSK yang turut hadir ialah Dr. Norhani Abd. Rani, Prof. Dr. Din Suhaimi dan Dr. Dasmawati Mohamad.Fokus kunjungan ialah ingin memberitahu masyarakat di luar sana bahawa gejala sosial yang semakin meruncing dan memerlukan pembelaan dan kerjasama dari masyarakat untuk sama-sama memperkukuh jati diri dengan pengamalan ajaran Islam.

Untuk sesi pertama, data-data pelatih dan latar belakang penubuhan RS Kelantan dikongsikan. Seterusnya sesi ke-2, 2 Orang pelatih telah dipilih untuk ditemuramah.Pelatih berkongsi pengalaman dan pengajaran bagaimana mereka boleh terjebak dalam kancah perzinaan. Kehidupan realiti di luar sana menyebabkan ada segelintir dari mereka yang takut untuk berhadapan dengan cabaran di persekitaran mereka.

Harapan agar masyarakat mengamalkan Islam dalam kehidupan dan berwaspada dengan masalah persekitaran yang semakin tidak mengenal siapa golongan sasarannya.

Semoga ada hati-hati yang terbuka dan mampu membina jati diri Islam dalam kehidupan kita, InsyaAllah...

Alhamdulillah sesi temuramah berakhir pada pukul 7.00 Malam.

Saturday 28 November 2009

DETIK-DETIK TERAKHIR BERSAMA DIA (UKHTI JOY, UST.AZIZEE, JIJAH&LAH)




Semalam merupakan detik-detik terakhir kami di RS Kelantan bersama insan yang banyak berjasa dalam kehidupan kami. Program yang dibuat khas untuk memberitahu yang kami akan kehilangannya untuk tempoh yang sangat lama. Dr. zaharah Sulaiman (Pengerusi RS Kelantan) Suami, Ust. Azizee Rohim B. Japri & anak-anak akan meneruskan perjuangan mereka di Melbourne, Australia. Ukhti akan menyambung ke Peringkat PHD & Ust. mempunyai tanggungjawab besar dalam misi dakwahnya.....

>
Malam Hari Raya Pertama Aidiladha ini, kami mulakan dengan solat Isya' berjemaah, takbir raya, Tazkirah dari Ust. Azizee & sesi perkongsian bersama dua insan istimewa bagi adik-adik di RS kelantan ini.


Bagi adik-adik, Ukhti&Ust. umpama Ibu&ayah mereka.
Bagi ana sendiri ucapan khas ini ditujukan buat 2 insan ini, maafkan ana andai membuat hati ukhti&ust. tertanya-tanya? Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan mereka dalam hidup ana.Ana hanya manusia biasa yang belajar dari pembelajaran, pengalaman & kesilapan yang dilakukan oleh diri ana sendiri. ana akan belajar berdikari tanpa insan yang banyak membantu mematangkan ana..... Tapi ana yakin Allah sentiasa bersama kita.

Ukhuwah ini terjalin di atas pertemuan & perpisahan seorang hamba Allah.
Bertemu & berpisah kerana Allah..
Bertemu tak pernah jemu...
Berpisah Tak pernah gelisah...

Salam perjuangan...

Friday 20 November 2009

KUNJUNGAN KE RUMAH YB FATAH

SALAM DAKWAH,

Alhamdulillah pada Khamis 19/11/09 bersamaan 2 Zulhijjah 1430 H, kami telah mengadakan kunjungan ke rumah YB. Hj. Abdul Fatah B. Hj. Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri Kelantan) dengan membawa usul dari RS Kelantan.

Kedatangan kami di sambut baik oleh isteri & anak-anak YB. Pertemuan singkat tetapi padat dengan usul-usul yang memberansangkan untuk membantu RS Kelantan dalam menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat khususnya di Negeri Kelantan bermula sekitar pukul 6.15 petang sehingga 7.00 petang.

Perjumpaan yang diketuai oleh Pengerusi RS Kelantan Dr. Zaharah Bt. Sulaiman bersama JK Tarbiyyah RS, Ust. Azizee Rohim B. Japri, Dr. Mohamed @ Zaid B. Hamzah (YDP JIM Kelantan) bersama isteri Ustz. Tempawan Bt. Ishak, dan saya selaku Pengurus RS Kelantan diajak turut serta dalam perbincangan ini. Tajuk perbincangan berkisar tentang kos pengoperasian RS Kelantan yang semakin tahun semakin meningkat dan usul yang dikemukakan oleh YB. sendiri ialah agar kami memohon RS Kelantan sebagai salah NGO satu rumah perlindungan dan bimbingan yang mendapat pengiktirafan dari kerajaan Negeri Kelantan.

Terimalah serangkap pantun dari kami buat YB. Abd. Fatah.....

Indahnya Islam Nyata & jelas,
Ukhuwah terjalin mantapkan akidah,
Harapan kami melangit luas,
Agar YB. pertimbangkan wadah.

JZKK YB. Fatah, isteri & anak-anak kerana menerima kunjungan kami




Semoga apa yang dibincangkan mendapat keberkatan dari Allah S.W. T, InsyaAllah.

Suatu pengalaman yang mendewasakan.....

LAWATAN EXCO WANITA PKR KELANTAN

Pada 17 Nov 2009, saya menerima kungjungan lawatan 6 orang Exco Wanita PKR KELANTAN. Alhamdulillah, satu perjumpaan yang sungguh bermakna buat kami. Hampir 2 jam kami berbincang mengenai apakah aktiviti wanita/remaja yang boleh dijalankan dgn kerjasama NGO/ RS di peringkat komuniti.

Mereka yang hadir ialah HJH NORAINI HJ HUSSAIN - KETUA WANITA NEGERI, PUAN HABSAH MUSTAFA - KETUA WANITA T.MERAH, PUAN KAMARRIAH IBRAHIM - KETUA WANITA TUMPAT, PUAN ZAINAB CHE AHMAD - KETUA WANITA PASIR MAS, PUAN HALIMAH MAMAT - KETUA WANITA K.KRAI DAN PUAN RUZAINI DARI PKR PUSAT.

Memang inilah yang kita juga nanti-nantikan dan Allah telah memberikan kita kepada orang yang kita boleh jv proram. RS boleh mengutarakan beberapa kertas kerja untuk mereka majukan kepada pihak tertentu untuk mendapatkan buget.

Insyaallah, aktiviti pertama mereka ingin anjurkan bersama ialah ABJZ yang melibatkan juga ibubapa, bukan sahaja remaja. Semoga dengan ini ABJZ akan terus mampu untuk menyantuni masyarakat.

Ok, tu dulu.

Thursday 19 November 2009

REHLAH BERSAMA PELATIH DI PANTAI IRAMA, BACHOK

Alhamdulillah pada Isnin 16 Nov 2009, seramai 21 orang pelatih RS Kelantan bersama ukhti Joy, Ust. Azizee, Jijah, Lah, 2 Orang Warden(Cik Asiah, Cik Siti) dan pengurus telah ber'REHLAH' di Pantai Irama, Bachok.


Kami bertolak dengan 4 buah kereta seawal 6.40 pagi dan tiba di Pantai Irama, Bachok sekitar 7.10 pagi. Terima kasih kepada Dr. Din & Umi Hani kerana sudi pinjamkan Toyota Innova untuk kami ber'REHLAH'. Toyota Altis Ust.& Ukhti Joy, Kereta kancil milik Cik Siti dan tidak dilupa Proton Iswara RS kelantan yang semakin 'uzur' tapi enjin masih berfungsi dengan baik sekali..
Aktiviti pada pagi itu dimulakan dengan Solat Dhuha di pantai. Untuk kebanyakan pelatih, ini merupakan suatu yang tidak pernah mereka lakukan. Kemudian, tazkirah pendek telah disampailan oleh Ust Azizee. Sandwich sardin & Bihun Special menjadi bekalan istimewa saat kami lapar nanti.
Antara aktiviti yang di jalankan ialah Explorace Haji, high jump dan acara bebas untuk pelatih-pelatih menikmati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T. Pukul 11.35 pagi kami bersiap-siap untuk bertolak pulang ke RS Kelantan.


JZKK atas jasa baik ukhti Joy dan Ust. Azizee kerana sudi meluangkan masa ber'REHLAH' bersama kami. Masihkah ada pengganti seperti Ukhti Joy.. InsyaAllah, yang tumbuh akan tumbuh lagi. Mungkin ini kali terakhir kami di RS Kelantan akan ber'REHLAH' bersamanya.... Ukhti Joy akan menyambung pengajian di peringkat PHD. di Aussie. Selamat Berjuang buat Ukhti joy.

Tuesday 10 November 2009

ABJZ DI SMU (A) TAQADDUM MA'ARIF


SALAM UKHUWAH FILLAH,
Alhmadulillah, pada Isnin 26 okt 2009(10.30pg -12.30pg) berlangsung Kempen 'Anda Bijak Jauhi Zina' Di SMU (A) Taqaddum Ma'arif, Pasir Tumbuh. Pengalaman membuat kempen ABJZ secara berseorangan memberi banyak pengalaman yang tidak terdapat di alam pengajian. Perjuangan untuk melihat adik-adik di luar sana sedar masih banyak UJIAN KEHIDUPAN yang perlu dikongsi bersama.



Terima kasih terutama kepada pihak pengurusan sekolah terutama Mudir, Cikgu Ah, Cikgu Ti dan adik-adik yang menjemput saya selaku Pengurus RS Kelantan bagi mengenengahkan isu gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat kita.


Seramai 70 orang pelajar tingkatan 2 dan 3 mengambil bahagian dalam program ini. 2 slot diberikan iaitu Pengenalan RSK dan berapa harga dirimu? serta 3 multimedia dipaparkan bagi santapan ilmu adik-adik. Resah sungguh adik-adik bila ditanya dengan soalan 'Siapa yang sedang bercinta, sila angkat tangan?' Semua kelihatan takut-takut untuk mengangkat tangan. Bercinta dengan Allah adalah jawapan yang terbaik buat kita yang memahami konsep CINTA HAKIKI.


Bukankah kita sedang hangat bercinta? Bercinta dengan Allah S.W.T.Untuk soalan 'Apa itu CINTA?' Ada yang menjawab: "Mereka yang berdua-duaan" dan ada juga menjawab "cinta kepada Allah". Tiada masalah dengan jawapan adik-adik yang penting kesediaan adik-adik untuk berkongsi. Mentaliti kita sebagai umat Islam seharusnya berbalik kepada Cinta Allah.


Di akhir Program, IKRAR 'ANDA BIJAK JAUHI ZINA' memenuhi ruang Masjid SMU (A) Taqaddum Ma'arif. Semoga pendedahan Kempen ABJZ ini mampu membuka lembaran ilmu untuk kita bekerjasama dalam Amar Ma'aruf Nahi Mungkar.Alhamdulillah, pengalaman yang amat mematangkan.

Sunday 25 October 2009

Pahit Manis, Suka Duka Dalam Mengendali
Pusat Bimbingan Remaja Puteri
Raudhatus Sakinah Kelantan-Satu Perkongsian


Pengenalan

Raudhatus Sakinah (RS) merupakan sebuah institusi JIM yang berfungsi untuk memberi perlindungan dan membimbing kepada remaja puteri bermasalah sosial yang ingin kembali ke pangkal jalan. Inisiatif penubuhan institusi tersebut telah dipelopori oleh sekumpulan ahli wanita JIM 10 tahun yang lalu. Dengan usaha gigih mereka pada masa itu, akhirnya tertubuhlah RS. Sehingga hari ini sudah terdapat 4 buah RS di seluruh negara termasuk RS Kelantan dan terdapat lagi yang bakal ditubuhkan. Ironinya, cawangan yang banyak ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan tetapi sesuatu yang merisaukan. Secara tidak langsung ia menunjukkan kepada keperluan untuk menyantuni remaja bermasalah sosial yang semakin meningkat.

Penubuhan RS ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah al `Araf yang bermaksud:

dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum Yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka Dengan azab Yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan tanggungjawab kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa" -164

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa usaha RS ini merupakan satu usaha nahi mungkar. Berpandukan motto RS iaitu ‘Selamatkan Satu Jiwa’, kami mengharapkan agar bayi yang tidak berdosa itu tidak menjadi mangsa buang bayi dan perbuatan terkutuk penguguran tidak selamat. Justeru itu di samping memberikan bimbingan dan perlindungan kepada remaja yang memerlukan, RS juga memberikan fokus kepada aspek pencegahan.

RS menggunakan pendekatan holistik dalam proses pemulihan dan bimbingan ke atas pelatihnya. Setelah melalui proses temuduga dan pemeriksaan kesihatan, pelatih yang diterima masuk ke RS akan dibimbing selama setahun. Penekanan yang diberikan adalah kepada asas-asas pengetahuan agama seperti fardu ain, tauhid, akhlak, feqah, tafsir dan lain-lain. Umumnya pelatih yang masuk ke sini jahil tentang agama. Gagal solat lima waktu, puasa Ramadhan, apatah lagi membaca al-Quran adalah biasa bagi mereka. Oleh sebab itu, kami menitik beratkan pengajaran dan kefahaman agama sebagai asas membentuk perubahan mereka. Bermula daripada mengajar cara bersuci, berwuduk, mengangkat hadas dan bersolat hinggalah kepada kefahaman dan hafazan ayat-ayat al-Quran diberi penekanan. Bayangkan terdapat pelatih yang sudahlah berzina kemudian tidak pernah mengangkat hadas besar sehinggalah mereka masuk ke RS Kelantan. Di samping itu, terdapat juga kelas kemahiran, riadhah dan skil/kemahiran. Sesi kaunseling individu dan berkelompok juga dijalankan sebagai pelengkap kepada pendekatan holistik RS.

Di RS Kelantan, setiap pelatih mempunyai buku log untuk mencatat aktiviti dan amalan harian mereka. Buku ini juga digunakan untuk mencatat kelas yang mereka ikuti. Catatan tersebut memudahkan kami memantau aktiviti dan kelas-kelas bimbingan yang mereka ikuti. Buku ini biasanya disemak setiap minggu oleh jawatankuasa tarbiyyah dan semasa itu juga ujian hafazan dan mutaba`ah amal dijalankan. Tidak dinafikan, amalan fardi yang mereka lakukan tidak mudah untuk diikuti oleh kebanyakan remaja sebaya mereka. Hanya dengan disiplin yang kuat dan keinsafan yang mendalam mampu untuk membiasakan mereka dengan aktiviti harian.

Pengoperasian

Terdapat dua orang warden dan seorang pengurus yang bekerja sepenuh masa di RS Kelantan. Mereka bersama pelatih pada kebanyakan masa dan memantau aktiviti dan perjalanan rumah tersebut. Membawa pelatih ke klinik dan hospital untuk pemeriksaan kandungan, berbelanja barangan dapur dan ke pasar merupakan rutin mingguan warden RS. Pengurus pula sibuk dengan proses kemasukan pelatih, pengangkatan anak angkat dan perjumpaan dengan keluarga pelatih. Di samping itu pengurus juga meninjau peluang yang boleh dimanfaatkan oleh RS Kelantan untuk mendapatkan dana dan menjalankan aktiviti pencegahan dengan pihak-pihak tertentu.

RS Kelantan diterajui oleh sekumpulan jawatankuasa yang bertanggungjawab memastikan pengoperasiannya berjalan lancar dan menyelesaikan masalah yang timbul. Mesyuarat yang diadakan setiap 2 bulan membolehkan mereka berbincang, merancang dan menyelesaikan kes atau masalah jika ada.

Fokus

Terdapat dua fokus utama RS Kelantan. Pertama, memberi bimbingan kepada pelatih di RS Kelantan dan juga menyantuni keluarga mereka. Kedua, menjalankan program kesedaran dan pencegahan kepada remaja umumnya agar mereka tidak terjebak dengan masalah penzinaan. Kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) yang telah dilancarkan di peringkat pusat pada tahun 2007, telah pun dilancarkan di Kelantan pada bulan Ramadhan tahun yang sama. Sejak dari tarikh itu RS Kelantan bergerak aktif dalam menjalankan kempen tersebut di merata sekolah di daerah-daerah termasuk Kota Bharu, Bachok, Jeli, Machang, Tumpat, Kuala Krai dan Gua Musang.

Program yang disampaikan sarat dengan bahan multimedia dan video pendek ini mampu untuk menarik minat remaja untuk mengikutinya. Remaja juga dipaparkan dengan fakta sains dan al-Quran tentang akibat yang akan menimpa mereka seperti penyakit kelamin dan azab Allah s.w.t jika perkara ini tidak mereka jauhi. Terdapat juga sesi bengkel yang dijalankan bertujuan untuk melihat bagaimana remaja bertindak dalam menyelesaikan sesuatu senario atau pandangan mereka mengenai sesuatu isu yang berkaitan dengan gejala sosial. Bengkel ini dapat menilai sejauh mana pemahanan peserta mengenai bahan kempen yang disampaikan.

Uniknya di akhir sesi program, peserta membacakan ikrar ABJZ secara beramai-ramai. Semoga dengan ikrar yang dilafazkan akan memberi keazaman kepada peserta untuk menjauhi sebarang anasir yang boleh membawa mereka kepada perzinaan.

Kes-kes yang ditangani

Sepanjang hampir 4 tahun mengendalikan RS Kelantan sudah pasti banyak ragam yang jumpai dan banyak kes yang ditangani. Antara kes-kes tersebut; seks bebas dan keterlanjuran dengan tunang, sama ada mengandung atau pun tidak, kes gejala sosial lain sepert arak, rokok, hidu gam dan pil khayal. Semua latar belakang masalah sosial pelatih ini didapati banyak mempengaruhi proses pemulihan dan kesedaran mereka.

Pelatih yang mengandung didapati paling mudah untuk berubah dan insaf dengan keterlanjuran mereka. Ada juga yang mengandung selepas pertama kali berzina. Pelatih seperti ini biasanya cukup mudah untuk menyesali perbuatan mereka. Namun bagi remaja yang berzina, yang mengamalkan seks bebas dengan berbilang pasangan dan tidak mengandung didapati paling sukar untuk berubah. Manakala pelatih yang turut terlibat dengan gejala lain termasuk minum arak dan merokok mempunyai rintangan dalaman yang paling tinggi untuk berubah. Melalui pemerhatian kami, mereka mempunyai keinginan untuk berubah yang tinggi, namun naluri mereka memberontak. Walau bagaimanapun, keikhlasan dan kesungguhan mereka akhirnya menjadi perkara terpenting yang membantu proses membimbing mereka kembali ke pangkal jalan.

Kebanyakan hubungan mereka adalah bermula dengan perkenalan sama ada melalui sms atau rakan sebaya. Jiwa remaja yang mudah terpengaruh dengan kata-kata manis dan pujuk rayu serta perasaan ingin mencuba menyebabkan mereka dengan mudah menerima ajakan kawan-kawan atau orang yang baru dikenali. Tidak kurang pula yang menyatakan keluarga merupakan faktor yang menyebabkan mereka terjebak dengan masalah sosial seperti ibu bapa yang bercerai, kurang kasih sayang daripada keluarga dan tidak memperduli aktiviti harian mereka. Akhirnya mereka memberontak dengan mengambil jalan singkat yang sebenarnya hanya memberi kenikmatan yang sementara. Pada peringkat ini, ikut kawan-kawan, lari dari rumah dan ponteng sekolah mula menjadi kebiasaan.

Apabila keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan ibu bapa telah hilang kesabaran, akhirnya pelatih mendapat hukuman fizikal (rotan/sebat/pukul). Hukuman ini bukannya menyelesaikan masalah, malah menyebabkan remaja semakin keras hati dan berdendam dengan keluarga. Lagi dipukul, semakin mereka melawan sehingga keluarga buntu memikirkan penyelesaian.

Keluarga yang disantuni

Pelatih di RS Kelantan datang dari pelbagai latar belakang. Ada ibu bapa yang mempunyai status ekonomi yang kukuh dan pendidikan tinggi, dan ada yang sebaliknya. Ada ibu bapa yang sangat menitik beratkan soal pendidikan agama dan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka tetapi ramai juga yang sebaliknya. Ada juga yang datang dari keluarga yang porak peranda, namun ramai juga dari keluarga yang sempurna. Walau apa pun latar belakang keluarga mereka, kami dapati keluarga yang memberikan kerjasama, penting dalam membantu proses bimbingan anak mereka berjalan seperti yang diharapkan.

Amat menyedihkan apabila melihat ada ibu bapa dan keluarga yang menyatakan kepada kami seperti:

”...tolonglah Puan, buatlah apa yan patut dengan anak kami ni...kami dah tak tahu nak buat macam mana... macam-macam dah kami cuba, tapi tak jadi jugak, malah bertambah teruk!”

Ada juga keluarga yang semasa berjumpa dengan kami, bergaduh sesama sendiri dan saling salah menyalahkan, sehinggakan kami yang malu melihat gelagat mereka. Ini bermakna tugas kami semakin berat. Bukan sahaja anak mereka yang harus kami santuni, malah keluarga yang tidak sefahaman harus kami tangani dan leraikan.

Namun ada keluarga yang merasakan apa yang berlaku terhadap anak mereka adalah disebabkan oleh kelemahan diri mereka sendiri. Ibu bapa sendiri berasa insaf di atas kelalaian mereka dalam menekankan didikan agama kepada anak mereka. Kami berasa begitu apabila ada yang menyatakan:

”...saya rasa apa yang berlaku sebenarnya satu peringatan daripada Allah di atas kelalaian saya selama ini....kami sekeluarga bersedia melakukan beberapa perubahan untuk memastikan anak-anak kami yang lain tidak terjebak dengan maksiat ini”

Cabaran yang hadapi

Untuk lebih memantapkan proses bimbingan, kami juga perlu menyantuni kelurga pelatih. Hal ini kerana cabaran sebenar kepada pelatih ialah apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat, menjalani kehidupan seperti biasa di luar sana setelah tamat ’pengajian’ di RS Kelantan. Kerjasama dan keperhatinan keluarga akan memastikan pelatih meneruskan amalan yang dipelajari di sini. Kami dapati keluarga yang bersedia menerima semula anak mereka akan memudahkan pelatih untuk terus berubah ke pangkal jalan. Tetapi daripada pengalaman kami, tidak semua keluarga sedia untuk disantuni dan tidak semua keluarga sedia menerima anak mereka kembali. Malah ada yang menyusahkan kami dengan tidak mengikuti peraturan yang telah kami tetapkan. Alhamdulillah, sesi perjumpaan dengan keluarga yang kami jalankan setiap 3 bulan sekali dilihat dapat membantu kami menangani masalah tersebut. Akhirnya kepada Allah jua kami berserah untuk membuka hati pelatih dan keluarga mereka untuk merubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

Kewangan yang kukuh amat penting dalam mentadbir sebuah rumah perlindungan. Sumber kewangan kami adalah dari yuran bulanan pelatih (bagi yang mampu), sumbangan oleh keluarga angkat dan orang ramai. Kami juga ada menerima sumbangan secara ”one off” dari orang perseorangan, badan-badan korporat terutama apabila mereka membuat bayaran zakat syarikat, dari kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Namun kami masih berharap untuk mendapat bantuan kewangan secara berkala atau bulanan yang boleh menjamin kos pengoperasian kami. Kami tidak pernah putus berusaha dan sentiasa akan membaiki keadaan dari masa ke semasa.

Pencapaian yang mengharukan

Apa yang menggembirakan kami adalah apabila pelatih yang disantuni berubah dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Perubahan yang didorong atas kesedaran diri sendiri ini biasakan akan berkekalan sehingga mereka telah keluar dari RS Kelantan. Kami mencuba sedaya yang mampu untuk terus berhubung dengan mereka supaya kami dapat mengetahui perkembangan mereka. Ada antara pelatih kami yang telah mendirikan rumahtangga dan mendapat anak, ada juga yang telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Timur Tengah. Tidak kurang juga yang telah kembali ke sekolah dan ke institusi pengajian tinggi untuk menyambung pengajian yang tertangguh. Pernah juga pelatih yang telah tamat bimbingan bekerja dengan RS dan membantu kami pula menyantuni pelatih yang lain.

Kami cukup terkesan dengan maklum balas yang diberikan oleh keluarga mengenai perubahan anak mereka. Pernah seorang bapa berkata:

”...pertama kali saya berasa sangat tersentuh apabila anak saya kata dia telah khatam al-Quran, saya sungguh terharu...sebab saya sebelum ini tidak pernah terfikir anak saya itu boleh lakukannya.....lebih meyakinkan saya apabila dalam suratnya kepada saya dia berkata sebelum ni rasa quran tu susah sangat, tapi bila dah masuk RS ni tak susah mana nak mengenal al-Quran.... dan sekarang ini dia sudah pun khatam untuk kali kedua, alhamdulillah...”

Masa depan yang penuh harapan

Masih jauh lagi perjalanan kami dalam menjadikan RS Kelantan satu pusat yang berjaya membantu remaja untuk kembali ke pangkal jalan. Namun kami mempunyai matlamat yang lebih jauh daripada itu iaitu untuk membolehkan RS mengoptimakan program pencegahannya. Membimbing, memberi kesedaran remaja di luar sana supaya menjadi contoh yang baik dan mampu untuk mempengaruhi rakan sebaya menjauhi gejala sosial. Keazaman untuk menyantuni mereka menjadi manusia yang soleh dan musleh tersemat utuh di dalam hati kami. Mungkinkah tercapai hasrat dan harapan kita agar pusat bimbingan remaja puteri seperti ini ditutup menjelang tahun 2020 apabila syariat Islam dapat menerobosi segala lapisan masyarakat sehingga tiada lagi kes-kes gejala sosial seperti hari ini? Inilah cabaran sebenar dan kami komited untuk melaksanakannya.

Kepada Allah s.w.t kita berserah agar memberi kita kesudahan yang baik dalam apa jua perkara yang dibuat.

Penulis:
Zaharah Sulaiman dan Ustaz Azizee Rohim Japri,
Pengerusi dan JK Tarbiyyah Raudhatus Sakinah Kelantan (2006-2009)


Ibu bapa tekun mendengarkan sesi ceramah oleh Ustaz Azizee Rohim Japri semasa sesi perjumpaan bersama keluarga pelatih

Mesyuarat JK RS Kelantan yang turut dihadiri oleh YDP JIM Negeri, Dr Zaid Hamzah.

Gambar premis RS Kelantan

Friday 23 October 2009

PERJUMPAAN KELUARGA BERSAMA IBU BAPA PELATIH RS KELANTAN

SALAM PERJUANGAN,


Alhamdulillah, pada Sabtu 23 Okt 2009 (3.00 ptg - 5.00 ptg) berlangsung perjumpaan di antara Pengerusi RS Kelantan Dr. Zaharah Sulaiman bersama suami Ust. Azizee Rohim Japri yang juga merangkap JK Tarbiyyah serta Dr. Dasmawati Mohamad (JK RSK) bertemu empat mata dengan keluarga pelatih. 10 keluarga dijemput hadir tetapi Alhamdulillah 4 keluarga yang hadir.




Untuk pengetahuan, sesi perjumpaan keluarga ini berlangsung hanya kepada pelatih-pelatih yang sudah melepasi tempoh 4 bulan ke atas menjalani bimbingan di RS Kelantan. Fasa ini mampu membantu kami di RS Kelantan untuk mengetahui dan menilai personaliti pelatih-pelatih di RS Kelantan. InsyaAllah perjumpaan seperti ini mampu membantu ke-2 belah pihak terutama keluarga pelatih yang ingin mengetahui perkembangan terkini anak-anak mereka.



Sesi pertama, berlangsung pertemuan 2 keluarga.Tidak dilupa, buku log pelatih menjadi instrumen perbincangan di antara JK RSK dan ibu bapa pelatih. Soalan yang berkisar kepada pelan perancangan masa depan adik-adik pelatih di RS Kelantan dan perbincangan juga menfokuskan perubahan sikap pelatih-pelatih. Ada ibu bapa yang mengeluarkan air mata....tanda syukur dan pada masa yang sama resah menanti perubahan dan perkembangan anak-anak mereka.


Perbincangan dihentikan untuk 2 keluarga bagi memberi peluang kepada sesi ceramah. Ust. Azizee seperti biasa menyumbang ilmu dan tenaga dalam ceramah yang mengfokus cara-cara mendidik anak dalam Islam. InsyaAllah semoga ada hati-hati yang terbuka dan dibuka oleh Allah Ta'ala.



Seterusnya sesi bersama 2 keluarga disambung semula. Ianya juga mengfokuskan perkembangan anak-anak di RS Kelantan dan pelan perancangan apabila pelatih-pelatih tamat bimbingan di RS Kelantan.


Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancang.












Friday 16 October 2009

Ceramah ABJZ di Kem BTN Besut Terengganu


Program separuh hari anjuran PPD Besut untuk 100 orang pelajar perempuan tingkatan 1,2 dan 4 dari sekolah sekitar Besut. Program berfokus kepada membentuk sahsiah remaja perempuan. Alhamdulillah saya telah diberi masa hampir 2 jam untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Berapa harga diriMu?"


Sebelum sesi bermula....


Sebelum sesi berakhir pelajar bersama sama membacakan ikrar ABJZ.

Bacaan ikrar diketuai oleh seorang wakil pelajar

Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka dan semoga akan ada jiwa jiwa yang terkesan dengan ceramah tersebut.

Pameran RS Kelantan semasa program

SEMINAR FIKRAH HASAN AL-BANNA: PEMBINAAN KELUARGA MUSLIM

Entry tersebut adalah e mail yang telah ditulis oleh Dr Norhani untuk wjkel net, seorang JK RSK dan mantan Pengerusi RSK.

SEMINAR FIKRAH HASAN AL-BANNA: PEMBINAAN KELUARGA MUSLIM
Assalaamualaikum wr wb

Alhamdulillah, thummalhamdulillah, dengan izin Allah yang Maha Agung, Seminar Hasan AlBanna : Pembinaan keluarga Muslim selamat diadakan dengan jayanya di Hotel Raudhah, Kota Bharu pada 3 hb Oktober 2009/14 Syawal 1430 ie Sabtu lepas.

Seminar anjuran JIM Kelantan ( dengan ajk dari semua daerah dan wanita ) di bawah Pengarah Akh Hamdan ( JK Pembangunan Keluarga ), dihadiri sekitar 200 peserta, lebih 50% darinya kalangan belum ahli JIM. Alhamdulillah ramai peserta Seminar AlBanna 1 (2008) dapat kita hubungi semula untuk hadir yang ini.

Tema : CINTA DI RUMAH HASAN ALBANNA.... buku berkaitan rumahtangga As-Syaheed.

JZKK kepada pembentang Ucaptama AKH DR HISHAMUDDIN ALHAM (JIM JOHOR), dengan multimedia yang mengkagumkan, juga ahli panel yang hebat-hebat: DR HAFIDZAH MUSTAKIM, KWJ Kelantan dan PAK RIJAL ( Pensyarah Kolej Jaiputra ) dan Dr Hisham sendiri. Akh Saidy Ismail, tidak disangkal lagi adalah pemudahcara yang berpengalaman.

All of you were not very good, YOU WERE EXCELLENT!! Alhamdulillah.

Ana ambil kesempatan ini untuk ucapkan JAZAAKUMULLAHU KHAIRAL JAZAA', terutama kepada Dr Hisham yang meredah 4 negeri selama 12 jam bersama Min dan Nadia. Akhi memang belum taubat nasuha...driving thru Johor ,Pahang, Terengganu and kelantan.

Lanjutan Seminar ini, bengkel Keibubapaan Efektif akan menyusul mengikut Fasa Pendidikan Anak2, kali ini lebih berfokus kepada "How to...." merujuk buku yang sama, InsyaAllah.

Begitulah sedikit laporan Seminar , tak taulah apa SB tu akan lapor pulak. ( x bayarpun masuk seminar orang!)

Salam.
Dr Norhani
TKW / JK Pembangunan Keluarga WJKelantan
Setiausaha Seminar Hasan AlBanna 2009

Gerai RSK
Banyak juga bahan dan buku yang terjual. Ada juga yang memasukkan derma dalam tabung kami.
JZKK kepada semua yang telah bersama menyumbang.

Monday 28 September 2009

Pagi Raya di RS Kelantan

Bertemu kami sekali lagi bersama sama anak anak di 1 Syawal 1430H @ 20 September 2009. Perjumpaan bermula selepas solat sunat Aidil Fitri. Sebelum solat kami hanya makan sedikit sahaja untuk mengikut sunnah. Pada pagi ni resepi kami adalah nasi minyak dan ayam masak merah. Pencuci mulut pula koktail dan kek coklat. Kami mulakan dengan ucapan dari semua kepada semua yang ada... Sebagai tanda kesyukuran kami mulakan dengan bacaan doa dan terus menjamu selera.... Inilah dia antara makanan yang disajikan, jemputlah makan.....



Kami akhiri sesi pagi Syawal dengan merakamkan gambar kami semua buat kenang kenangan di masa hadapan. Akhir sekali kami warga RS Kelantan mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pada dermawan dan sukarelawan yang selama ini banyak membantu dan meluangkan masa untuk kami. Kepada warden kami Cik Asiah dan Cik Siti, pengurus kami Cik Fatihah dan JK RS Kelantan semua, terima kasih di atas jasa dan bakti yang anda dicurahkan.... hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa baik anda sekalian.
Sekarang tibalah pula giliran kami untuk balik ke kampung halaman kami di Johor. Lewat petang 1 Syawal kami tinggalkan Kota Bharu dan alhamdulillah kami selamat sampai di kampong halaman, Pontian keesokan harinya 2 Syawal sebelum solat subuh. Syukur, Alhamdulillah.....

Dr Zaharah


Malam Raya di RS Kelantan

Tahun ini sekali lagi kami sekeluarga menyambut lebaran Syawal 1430H bersam- sama anak-anak di RS Kelantan.

Selepas diumumkan esoknya 1 Syawal maka kami pun mulalah bertakbir beramai-ramai pada malam Sabtu, 19 September 2009. Tetapi sebelum itu, Ustaz Azizee memberi sedikit tazkirah cara-cara menyambut Syawal mengikut sunnah Nabi s.a.w. Kami juga menerangkan kepada mereka makna takbir itu yang bermaksud kemenangan tidak sepatutnya orang berasa sedih...tapi di Malaysia ni nada takbirnya memang sayu...Jadi anak-anak kat sini ramai jugalah yang tersedu sedan teringatkan kampung halaman, keluarga dan sanak saudara yang jauh di kampung tu....

Selepas habis bertakbir, kami pun mulakan sesi bersalam-salaman dan bermaaf-maafan mengikut trasidi orang Jawa. Setiap orang hendaklah memohon maaf dan menyebut apa kesalahan yang pernah dibuat. Bukan hanya cakap maaf zahir batin sahaja...seperti lazimnya orang biasa buat. Sesi ini juga kami jadikan sebagai latihan untuk pelatih meminta ampun dan maaf daripada keluarga mereka sendiri apabila keluarga melawat mereka pada hari raya nanti. Sesi dimulakan dengan anak-anak yang paling dewasa memohon maaf kepada kami dan warden...kiranya anak yang paling tua lah mula dulu. Anak yang paling akhir iaitu yang paling muda kenalah minta maaf daripada semua kakak mereka yang lebih dewasa. Suasana sayu pun ada dan lucu pun ada apabila setiap daripada anak-anak di sini membuka "rahsia' kesalahan yang pernah mereka lakukan.... Susah juga ya nak mengaku salah kalau tak betul-betul. Alhamdulilah kami amat kagum dengan kejujuran mereka dan kami juga memohon banyak kemaafan di atas kekurangan diri kami juga...

Akhir sekali kami menjamu selera dengan hidangan kuih muih yang disediakan sendiri oleh anak-anak di sini. Banyak juga yang mereka buat dan rasanya juga boleh tahan. Jemputlah makan...


Alhamdulillah tanpa disedari sesi pada malam raya ni sampai pukul 11 malam jugak.... Esok awal-awal lagi anak-anak sudah bangun bertahajud seawal pukul 4 pagi dan seterusnya memasak untuk juadah hari raya pada pagi 1 Syawal 1430H.


Dr Zaharah

Wednesday 16 September 2009

Majlis Iftar Dan Pelancaran Majlis Amal Islami (MAIM)

Salam Ukhuwah,


Pada 12 Sept 2009 bersamaan 22 Ramadhan 1430 H, satu pelancaran MAIM telah diadakan di New Pacific Hotel. RS Kelantan telah menghantar 2 orang wakil iaitu Pengurus Cik Fatihah dan sukarelawan Cik Rabiatul Hadawiyah ke majlis pelancaran tersebut. Seramai lebih kurang 20 wakil NGO hadir bagi memastikan Majlis amal Islami atau MAIM bergerak sejajar dengan perkembangan masyarakat yang akan bergerak bersama Islam. InsyaAllah. Majlis turut dihadiri oleh YDP JIM Kelantan Dr. Mohamed Hamzah dan Isteri Ustz. Tempawan, Ketua Wanita JIM Kelantan Dr. Hafidzah Mustakim dan Timb. Ketua Wanita JIM Kelantan Dr. Norhani Abd. Rani.


Salam Perjuangan buat semua wakil-wakil NGO yang Hadir. Semoga Allah menyatukan kita dalam NUR keberkatan di bulan Ramadhan ini.

Monday 14 September 2009

ABJZ RAMADHAN 1430H


Salam semua,

Saya ditanya oleh beberapa orang yang antaranya " Dr, tahun ni tak de ke ABJZ di Dewan Utama USM? .Biasanya mesti dah sibuk dengan program ni pada tahun tahun yang lepas..." Untuk anda yang ingin tahu, ABJZ Ramadhan ini telahpun kami mulakan pada tahun 2007. Kalau ikutkan tahun 2009 merupakan kali ke 3. Apa specialnya ABJZ Ramadhan ni, ia melibatkan semua sekolah menengah di satu satu daerah yang di pilih. Jumlah penyertaan pelajar dan gurunya juga sehingga seribu orang.



Pada 2007 kami mengadakan untuk sek-sek daerah Kota Bharu, 2008 untuk Daerah Bachok dan perangcangan yang telah diatur untuk tahun ini ialah daerah Pasir Mas. Walau bagaimanapun Allah adalah sebaik baik perancang. Pada saat saat akhir, setelah berbincang dengan pihak PPD kami membatalkan program yang sepatutnya berlangsung minggu lepas. Ini adalah kerana atas faktor keselamatan kesihatan pelajar iaitu untuk mengelakkan penularan H1N1 memandangkan ia program yang besar dan melibatkan 15 buah sekolah dan seribu peserta.



Di sini saya sertaka beberapa gambar ABJZ Ramadhan yang telah kami jalankan pada tahun tahun yang lalu. Doakan semoga program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, InsyaAllah.










Sunday 13 September 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA RSK

Alhamdulillah, pada hari Jumaat lepas, 11 Sept. 09 / 21 Ramadhan 1430H, RSK telah menganjurkan acara tahunan iaitu Majlis Iftar pelatih-pelatih RSK bersama Ahli Jawatankuasa RSK dan keluarga. Turut dijemput juga, JK JIM Negeri dan JK Wanita JIM Negeri. Walau pun tidak semua yang dijemput dapat menghadhirkan diri, lebih kurang 30 tetamu telah memeriahkan majlis ini.

Kebanyakan JK RSK telah datang bersama-sama ahli keluarga masing-masing. Antaranya, Dr Zaharah, Dr Hafidzah, Dr Dasmawati, Dr Norhani, Pn Wan Aishah dan ramai lagi.

Majlis bermula pada pukul 6 petang dengan dipengerusikan oleh pengurus RSK, Cik Fatihah yang kemudiannya menjemput Ustaz Azizee untuk memberi penerangan tentang pertarbiahan di RSK kepada tetamu kehormat pada hari itu, YDP JIM Kelantan, Dr Mohammed Hamzah.
YDP seterusnya menyampaikan sedikit tazkirah kepada para pelatih yang antara lainnya memberi panduan untuk menjalani kehidupan selepas ini mengikut cara yang telah ditunjukkan dalam agama kita. Pengurus kemudiannya menutup majlis dengan menyatakan harapan semua keatas para pelatih yang sedang menjalani bimbingan di RSK sekarang.



Selepas iftaar,
sembahyang maghrib berjemaah dengan di imami oleh Ustaz Azizee juga.












Kegembiraan dapat dilihat pada wajah-wajah pelatih bila dapat bersua dan beramah-mesra dengan tetamu yang datang. Majlis-majlis seperti ini selalunya akan membawa keceriaan pada mereka .....Alhamdulillah.
JZKK kepada semua JK JIM negeri yang telah hadir antaranya TYDP Akh Che Rahimi, SU , B'hari dan AJK dan JK Wanita JIM Negeri antaranya Pn Nik Noor Aini & suami Dr Othman selaku SU JIM Bachok, Ustz Tempawan dll lagi. Dan tak lupa juga, Jazakillaahukhairan pada Puan Fauziah yang telah membiayai sebahagian besar dari majlis ini.